وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
"dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia dengan cara yang sama"
Ayat di atas dipetik daripada surah an-Nisa' ayat 86. Ianya berkaitan dengan ucapan salam (Assalamu'alaikum) yang selalu kita sebut dan kita dengar. Dalam Islam, memberi salam atau mengucapkan salam kepada seseorang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan. Bahkan memberi salam itu diletakkan dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain. Maka orang tidak mahu mengucapkan salam adalah orang yang tidak menunaikan hak tersebut.
Sabda Nabi SAW juga ada menyebut tentang memberi salam, "jika kamu jumpa dengannya maka kamu beri salam kepadanya." Untuk itu, dapatlah kita lihat di sini bahawa mengucapkan salam atau memberi salam merupakan perkara yang dituntut dalam Islam.
Namun, realiti sekarang adalah sebaliknya. Jika kita lihat dan perhatikan, budaya memberi salam sudah semakin terhakis di kalangan umat Islam. Jarang kedengaran pelajar-pelajar memberi salam kepada cikgu ataupun pensyarah ketikamana berselisih di jalanan. Malah, sudah menjadi kebiasaan para pelajar memasuki kelas atau dewan kuliah tanpa memberi salam, berjumpa dengan kenalan di masjid atau surau tidak memberi salam, memasuki rumah tanpa memberi salam dan sebagainya.
Selain itu, ucapan salam juga kerap dipermain-mainkan. Contohnya, sering didengar bilamana bersama kawan-kawan, 'kirim salam maut', 'kirim salam benci', dan macam-macam lagi.
Kenapa terjadinya perkara sedemikian???
Hal yang demikian kerana makin kurangnya kesedaran di kalangan umat Islam tentang tuntutan memberi salam. Ramai yang akan berkata, ianya hanya perkara kecil, tidak perlu diperbesar-besarkan. Ya, ia memang perkara yang kecil, tapi perkara kecil inilah yang selalu diabaikan, menjadikan orang berat mulut untuk mengucapkannya.
Padahal, dengan memberi salam serta menjawab salam, kita diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Malah, orang yang diberi salam akan berasa senang dengan kita, secara tidak langsung juga boleh mengeratkan ukhwah di antara umat Islam seluruhnya, kerana dengan memberi salam kita telah mendoakannya. Mudah kan? :)
Untuk itu, marilah kita sama-sama mengamalkan budaya memberi salam kerana ianya merupakan tuntutan dalam Islam. Seseorang itu juga dikatakan tahu beradab dan bersopan bilamana dia memberi salam sesama umat Islam.
Wallahua'lam..
:) Insya'Allah...
ReplyDelete