Thursday, 5 January 2012

KESEDARAN MENGENDALIKAN JENAZAH

Bismillahirrahmanirrahim....



Menjadi fenomena yang biasa dilihat di mana-mana majlis mengendalikan jenazah, bahawa orang-orang yang menguruskan jenazah terdiri daripada orang-orang yang sudah tua.

Ke manakah perginya golongan muda??

Adakah kerana tidak boleh dan tidak tahu mengendalikan??

Adakah kerana takut untuk kendalikan??

Antara alasan-alasan yang selalu kita dengar ialah: 
"saya tak minat dalam mengendalikan jenazah"
"saya tidak tahu cara untuk kendalikan"
"saya jahil dalam urusan mengendalikan jenazah"
"orang masjid sudah ada, tak perlu pada kita"

Di dalam pemerhatian saya, golongan muda kini tidak melibatkan diri dalam urusan mengendalikan jenazah disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Antaranya ialah:-

1) Kurang minat untuk terlibat
-Tidak ramai umat Islam yang mahu terlibat dalam pengurusan menyelenggarakan jenazah kerana bidang ini merupakan suatu bidang yang amat mencabar. Ia bukan sahaja menuntut orang-orang yang arif mengendalikannya, tetapi juga memerlukan orang yang sabar, kuat iman, cekal, dan tabah. Lebih-lebih apabila berdepan dengan pelbagai bentuk kematian seperti jenazah yang kemalangan, mati lemas, mayat yang terbakar, mayat yang tidak cukup anggota dan seumpamanya. 

2) Tidak tahu cara mengendalikan jenazah
-Meskipun sekarang ramai di kalangan orang Islam yang mendapat didikan agama yang tinggi, namun tidak ramai yang benar-benar mahu terlibat dalam bidang ini. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahir mengendalikan jenazah, ilmu yang ada hanya tersimpan di dada dan tidak diamalkan. Sedalam dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang itu, sekiranya tidak diamalkan, ia adalah sia-sia.

3) Kejahilan dalam agama
-Pengabaian didikan agama kepada kanak-kanak sejak kecil lagi akan menyebabkan mereka kurang peka atau sensitif dengan perkara sebegini. Bagaimana orang yang tidak lulus fardhu ainnya boleh diserahkan tugas berkaitan fardhu kifayah?? Kadang-kadang bila berlaku kematian dalam keluarga, anak-anak tidak tahu langsung hendak buat apa. Belum lagi menyebut soal memandikan, mengapankan dan lain-lain. Soal hendak menyembahyangkan jenazah ibu atau bapanya pun kadang-kadang tidak tahu. Mereka hanya mampu hubungi pihak tertentu untuk uruskan. 

4) Masyarakat yang tidak prihatin
-Arus kemodenan kadangkala menyebabkan kurangnya sifat kasih sayang antara sesama jiran tetangga. Hidup masyarakat kini adalah 'nafsi-nafsi' (buat hal sendiri) sehingga jiran sebelah rumah tidak pernah bertegur sapa. Jadi, apabila berlaku kematian, tidak mustahillah jiran-jiran tidak peduli. Sedangkan dalam ajaran agama Islam sendiri sesama jiran haruslah saling menghormati, malah menghulurkan bantuan di saat dia ditimpa musibah atau kesusahan. 

Untuk itu, beberapa kaedah perlu dilakukan bagi menarik minat generasi muda mendalami bidang pengurusan jenazah. Kursus-kursus pengurusan jenazah hendaklah selalu dilakukan. Latihan teori dan praktikalnya harus disusun dengan teliti dan menarik minat golongan ini. InsyaAllah diharapkan dari situ nanti akan lahirlah anak-anak muda yang benar-benar boleh mewarisi ilmu dan akhirnya mahir untuk menguruskan jenazah. 

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment